Ops Telur: 30,000 telur gred A disita

DURIAN TUNGGAL 7 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), menyita sebanyak 30,000 biji telur ayam gred A, di sebuah kilang pengeluar telur membabitkan kesalahan pencatutan, di sini, pagi tadi.
Ketua Seksyen Bekalan dan Harga Bahagian Penguatkuasa KPDNHEP, Abd Hafidz A Rahim berkata, kesemua telur dianggarkan bernilai RM10,000 itu disita selepas mendapati kilang yang telah beroperasi lebih lima tahun itu disyaki menaikkan harga dengan mendapat keuntungan tinggi yang tidak munasabah sejak Disember tahun lalu.
Menurutnya, ini merupakan kes sita yang pertama pada tahun ini menerusi operasi fasa kedua yang membabitkan 15 anggota penguatkuasa di bawah kesalahan Seksyen 14(1) Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
“Hasil pemeriksaan bermula Disember tahun lalu hingga setakat ini, KPDNHEP telah merekodkan lapan kesalahan di bawah seksyen yang sama termasuk tujuh di Melaka dan satu di Wilayah Persekutuan.
“Sebanyak 95 notis dikeluarkan di bawah Seksyen 21 AKHAP 2011 bagi pihak syarikat mengemukakan maklumat setelah melakukan pemeriksaan ke atas 34 pengeluar mahupun peladang dan 61 pemborong di seluruh negara dalam tempoh tersebut,” katanya selepas operasi tersebut.
Abd Hafidz berkata, pihaknya turut mendapat aduan orang awam berhubung kenaikan harga telur yang begitu meningkat sejak kebelakangan ini termasuk disyaki menaikkan harga dan mengambil keuntungan tinggi yang tidak munasabah.
Jelasnya, operasi tersebut sebagai tanda amaran kepada pihak terbabit agar tidak sewenangnya mengambil kesempatan menaikkan harga telur setelah kerajaan tidak menetapkan harga siling bagi telur memandangkan sekarang bukan musim perayaan.
“Kita harap pengguna dapat membuat aduan kepada KPDNHEP sekiranya terdapat pihak yang masih berdegil menaikkan harga telur sesuka hati,” katanya.