Padah cuba sogok penguat kuasa JAIM

BUKIT PALAH 13 Feb. – Gara-gara cuba menyogok pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), seorang warga Bangladesh ditahan dan diserahkan kepada polis.
Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Rahimin Bani berkata, warga asing berusia 28 tahun itu melakukan sogokan kerana ingin melepaskan diri dari ditahan
pegawai terlibat dalam satu operasi.
“Dia didapati memiliki bahan-bahan lucah yang menyalahi Seksyen 292 Kanun Keseksaan dan telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya kepada MelakaKini.
Rahimin berkata, JAIM sentiasa meningkatkan penguatkuasaan undang-undang syariah di bawah Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.
“Orang ramai khususnya umat Islam diingatkan supaya tidak terjebak dengan aktiviti yang boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya.