Pameran lukisan medium tarikan pelancongan negeri

Pameran lukisan medium tarikan pelancongan negeri

BANDAR HILIR 18 Jan. – Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) komited mempelbagaikan program bagi menarik kedatangan pelancong ke negeri ini.

Pengurus Besar PERZIM, Fadhilah Md. Saleh berkata, salah satu usaha dijalankan termasuk menggiatkan pameran lukisan dan karya-karya seni.

Menurutnya, menerusi aktiviti dilaksanakan, bukan sahaja pengunjung tempatan, malah, ia berpontensi menarik pelancong luar negara ke sini.

“Karya seni dan lukisan mempunyai peminat tersendiri. Ini kerana hanya orang-orang seni sahaja yang memahami erti dan nilai sesebuah karya itu.

“Apabila mereka mendapati karya-karya dipamerkan menerusi program anjuran PERZIM luar biasa dan berkualiti, sudah tentu mereka tidak akan melepaskan peluang untuk melihatnya sendiri,” katanya kepada media selepas majlis perasmian Pemeran Lukisan Beuty In Nature diadakan di Balai Seni Lukis Melaka.

Jelas Fadhilah, sehingga kini terdapat kira-kira 100 koleksi lukisan di Balai Seni Melaka.

“Kita akan terus memperbanyakkan aktiviti sama untuk menggalakkan lebih ramai pelukis dalam dan luar negeri mempamerkan karya mereka di sini.

“Saya harap platform ini dapat digunakan untuk melahirkan lebih ramai anak seni khususnya dari negeri ini untuk berkongsi karya mereka,” katanya.

Majlis perasmian Beuty In Nature disempurnakan Timbalan Pengerusi PERZIM, Datuk Dr. Wong Fort Pin.

Mengulas mengenai pameran tersebut, Fort Pin berkata, seramai tiga pelukis tempatan telah mengambil bahagian.

“Ketiga-tiga mereka mengambil tema semula jadi sebagai konsep lukisan bersesuaian dengan judul pameran ini.

“Bagaimanapun, setiap karya mereka menampikan gambaran berbeza yang mana Constance Teo memilih keindahan flora dan fauna untuk diterjemahkan di dalam karyanya.

“Tommy Chen pula terkenal menerusi rasa cintanya terhadap ikan Koi dan menjadikannya sebagai fokus utama karya. Manakala, Allentan cenderung kepada karya berimej kuda, burung, bunga dan potret manusia,” katanya.

Ujar beliau, usaha PERZIM untuk memartabatkan bidang seni visual juga menjadi inisiatif terbaik mendedahkan bidang seni dalam kalangan masyarakat.

“Ia boleh dilakukan menerusi pelbagai kaedah seperti penganjuran bengkel, bicara seni, kem seni, pertandingan melukis, pameran interaktif dan sebagainya,” katanya.

CATEGORIES