Pantau wabak denggi : Melaka hanya ada 1 dron – Exco

AYER KEROH 19 Feb. – Negeri Melaka hanya punyai satu dron milik Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah untuk digunakan sebagai alat pemantau wabak denggi.
Exco Kesihatan & Antidadah, Low Chee Leong berkata, bagi daerah Alor Gajah dan Jasin penggunaan dron terbabit masih lagi berada dalam proses permohonan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Semalam (18 Februari), Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, Melaka akan memperkasakan penggunaan dron bagi memantau perkembangan wabak denggi.
Ianya selepas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad menyetakan kementeriannya sedia meluluskan peruntukan terhadap penggunaan dron dan memperluaskan penggunaan teknologi itu, November tahun lalu.
“Setakat ini, hanya Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah saja yang memiliki dron (satu unit), manakala bagi daerah selebihnya masih dalam permohonan, kita di peringkat kerajaan negeri cuba mendapatkan satu unit dron bagi setiap daerah,” katanya.
Menurut kenyataan Dzulkefly, penggunaan dron dilihat amat efektif dalam membantu mengesan pembiakan Aedes terutama di lokasi yang terlindung dan tinggi.
“Saya akui ia sesuatu yang baharu serta canggih. Ini terbukti keberkesanannya apabila Jabatan Kesihatan Melaka sendiri sudah menggunakannya.
“Walaupun penggunaan dron akan digunakan kelak, namun kerjasama penduduk dalam membasmi pembiakan nyamuk Aedes juga penting,” katanya.