Pas bermusim MU dapat sambutan menggalakkan

Pas bermusim MU dapat sambutan menggalakkan

PENJUALAN pas bermusim Melaka United (MU) mendapat sambutan menggalakkan, selepas merekodkan lebih 600 jualan setakat semalam.

Sehubungan itu, Setiausaha Persatuan Bola Sepak Melaka United (MUSA), Farhan Ibrahim, berkata pihaknya akan terus membuka kaunter jualan bagi membolehkan orang ramai mendapatkan pas bermusim pasukan MU beraksi musim ini.

“Setakat ini, pas sudah terjual lebih daripada 600 keping dan hari ini (semalam) serta esok (hari ini) kita buka kaunter jualan di Bangunan Laksamana, Seri Negeri.

“Kita masih mencari lokasi yang bersesuaian untuk membuka lebih banyak kaunter di sekitar negeri dan jual sebanyak yang boleh dengan pakej promosi yang ditawarkan,” katanya ketika dihubungi MelakaKini.

Pelbagai pakej harga dengan barangan percuma ditawarkan bagi mendapatkan pas bermusim berkenaan iaitu bagi pakej gangsa berharga RM118, manakala pakej perak berharga RM198.

Bagi pakej emas, orang ramai boleh mendapatkan pakej berkenaan dengan harga RM298, manakala pakej platinum berharga RM498.

Bagi pembelian pakej ‘crown’ dan ‘diamond’ harga pakej pas bermusim adalah masing-masing berharga RM1898 dan RM1198 dengan hadiah percuma yang menarik termasuk jersi ‘home’, mug, botol air dan beg MU.

Kaunter penjualan di Bangunan Seri Negeri mula dibuka pada 10 pagi hingga 4 petang semalam.

CATEGORIES