Pasang khemah untuk petugas media di luar Seri Negeri

AYER KEROH 2 Mac – Atas dasar prihatin kepada petugas media yang sedang berpanas, kakitangan Kompleks Seri Negeri di sini telah memasang khemah di luar pintu masuk bangunan berkenaan.
Sebanyak dua buah khemah dipasang khas untuk memuatkan kira-kira 30 petugas media yang berkampung di luar bangunan itu sejak pagi tadi.
Pihak media telah berkumpul di luar pintu masuk bangunan itu bagi mendapatkan maklumat berhubung perkembangan terbaharu kerajaan negeri Melaka.
Setakat jam 2 petang tadi, sudah terlihat kelibat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Idris Haron bersama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka, Datuk Seri Ab Raof Yusof memasuki bangunan Seri Negeri.
Sebelum itu, dua Ahli Dewan Undangan Negeri dari Parti Pribumi Bersatu Melaka, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Datuk Noor Effandi Ahmad juga telah memasuki bangunan berkenaan.
Difahamkan kesemua mereka hadir ke Seri Negeri bagi mengadakan pertemuan dengan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob di pejabat Tuan Yang Terutama (TYT) bagi membincangkan perubahan landskap politik negeri ini.