Pastikan berita disebarkan tepat dan benar – Gobind

BANDARAYA MELAKA 13 Feb. – Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Jabatan Penerangan di seluruh negara telah turun padang berjumpa orang awam bagi menangani penyebaran berita palsu daripada terus berleluasa.
Menterinya Gobind Singh Deo berkata, melalui inisiatif program ‘Info On Wheels’ (IOW) hebahan maklumat membabitkan isu nasional seperti Covid-19, mySalam, PekaB40 dan i-suri dapat disampaikan dengan lebih tepat
Beliau berkata, apabila berlakunya perkongsian atau penyebaran berita tidak benar ia boleh mengakibatkan berlakunya perkara di luar jangkaan.
“Kita lihat bagaimana kerajaan mengambil langkah tegas sejak mula wabak Covid-19, saya rasa kita telahpun menitik berat dan memberi penekanan bahawa maklumat yang disalurkan harus tepat dan benar.
“Kita perlu mengelakkan daripada berkongsi maklumat yang belum kita selesaikan ataupun tidak pasti bagi mengelakkan lebih kekeliruan atau masalah sampingan akibat daripada itu,” katanya di sidang media pada Program ‘Info On Wheels’ di Terminal Melaka Sentral, di sini, hari ini.
Hadir sama, Exco Komunikasi, Multimedia, NGO, Pembangunan Belia dan Sukan, Kerk Chee Yee dan Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Mohd Rizal Hashim.
Mengulas lanjut Gobind Sigh Deo berkata, program IOW yang dilaksanakan sejak 23 Januari lalu memberi hebahan dan edaran risalah antaranya membabitkan wabak Covid-19, inisiatif e-Tunai, PekaB40 serta MySalam.
“Sejak 23 Januari sehingga 12 Februari lalu sebanyak 1,775 program IOW sudah dijalankan di seluruh negara membabitkan 3,895 lokasi tumpuan orang ramai antaranya pasar, medan selera, lapangan terbang, pasar raya serta kawasan perumahan,” katanya.