PBS KRT Batang Melaka bantu hadapi kebakaran

BATANG MELAKA 21 Feb. – Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Batang Melaka menjadi satu-satunya pasukan yang ditubuhkan di daerah Jasin yang berperanan membantu masyarakat setempat berhadapan dengan kebakaran.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jasin Bistari, Rahizam Ruzali berkata, sejak ditubuhkan pada tahun 2007, PBS KRT Batang Melaka mempunyai seramai 25 ahli berdaftar dengan 11 ahli jawatankuasa.
“Kewujudan pasukan bomba sukarela itu sebagai persediaan awal sekiranya berlaku kebakaran.
“Adakala pihak bomba tidak dapat sampai awal ke lokasi kejadian kerana faktor kesesakan lalu lintas dan lokasi yang jauh.
“Jadi, penubuhan pasukan ini sangat wajar untuk mengurangkan risiko kecemasan yang boleh terjadi sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya kepada MelakaKini.
Menurutnya, PBS tidak hanya memfokuskan kepada kejadian kebakaran, sebaliknya pasukan tersebut memainkan pelbagai peranan penting.
“PBS turut bertanggungjawab memantau keadaan pili bomba di kawasan masing-masing. Malah, mereka juga bertindak memberi khidmat nasihat kepada masyarakat mengenai bahaya kebakaran dan langkah pencegahan kebakaran.
“Pada masa sama, ia mengeratkan koordinasi pasukan terbabit dengan jabatan bomba dan penyelamat serta agensi berkaitan,” katanya.