Pekerja kilang maut dalam perjalanan ke tempat kerja

SUNGAI RAMBAI 8 Mac – Seorang pekerja kilang maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 9 Lebuh Alor Gajah-Melaka-Jasin (AMJ) Sungai Rambai di sini, kira-kira jam 7 pagi tadi.
Mangsa, Mohd Shahridzuan Ali, 37, yang menunggang motosikal jenis Honda Wave dikatakan dalam perjalanan ke tempat kerja semasa kejadian itu berlaku.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan, Arshad Abu berkata, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari arah Merlimau menuju ke Muar.
“Semasa tiba di lokasi kejadian, sebuah kereta dipandu remaja berusia 18 tahun dipercayai tiba-tiba keluar dengan laju dari susur kiri lampu isyarat dan telah melanggar mangsa.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa tercampak ke jalan bertentangan dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada media.
Arshad berkata, bagaimanapun, pemandu kereta terbabit yang juga seorang pelajar sekolah tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Jasin untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) (A) APJ 1987,” katanya.