Pekerja kilang maut kereta terbakar
Sentiasa periksa kenderaan anda

JASIN 21 Feb. – Pekerja kilang maut selepas kereta yang dipandunya terbakar dalam kemalangan di Kilometer 2, Jalan Nyalas – Rim, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira- kira jam 6 pagi itu, mangsa S Suriya, 25, maut di lokasi kejadian.
Ketua Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri Superintendan Hasan Basri berkata, sebelum kejadian mangsa yang memandu Proton Wira dalam perjalanan dari Nyalas menghala ke Jasin.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta dipandu mangsa hilang kawalan ketika melalui lokasi kejadian.
“Akibatnya kenderaan terbabit terbabas ke tebing jalan sebelah kiri lalu terbakar,” katanya
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian kerana terperangkap di dalam kereta.
“Akibatnya, hampir keseluruhan badan mangsa terbakar.
“Mayat mangsa dibawa keluar dengan bantuan bomba selepas kerja pemadaman selesai,” katanya.
Hasan berkata, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Jasin bagi proses bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.