Pekerja kilang maut terbabas

AYER KEROH 19 Feb. – Seorang pekerja di sebuah kilang di sini, maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dalam kemalangan di Jalan Tun Abdul Razak, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa, Muhammad Dizulfadzli Abd. Rashid, 26, dipercayai meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di kepala.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, kemalangan dipercayai berlaku semasa mangsa dalam perjalanan dari lampu isyarat kawasan Perindustrian Ayer Keroh menuju ke Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC).
“Mangsa kemudiannya gagal mengawal motosikal menyebabkan tayar hadapan bergesel dengan batu tengah pembahagi jalan.
“Akibat pergeselan itu, mangsa terbabas ke tengah pembahagi jalan dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan dialami,” katanya kepada media.
Jelas Afzanizar, siasatan turut mendapati terdapat kesan seretan pada bahagian tepi batu pembahagi jalan dan kesan langgar pada pokok di tengah pembahagi jalan tersebut.
“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka (HM) untuk dibedah siasat dan siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Menurutnya, motosikal mangsa ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987.