Pelajar perlu kuasai ilmu Usuluddin

Pelajar perlu kuasai ilmu Usuluddin

KUALA SUNGAI BARU 25 Sept. – Penguasaan ilmu Usuluddin bagi masyarakat Melayu dianggap sesuatu yang penting dalam mengimbangi arus globalisasi.

Ianya sepadan dengan situasi masa ini memandangkan ilmu Usuluddin perlu dipelajari umat Islam dalam rangka melahirkan generasi beriman kepada Allah.

Timbalan Naib Canselor Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Prof. Dr. Baharudin Puteh berkata, peranan Fakulti Usuluddin dalam meningkatkan kemajuan umat Islam dan Melayu di era globalisasi ini sangat mencabar dan keperluannya sama penting dengan ilmu moden.

Kata Baharudin, secara sadar atau tidak globalisasi telah menyelinap masuk ke dalam setiap aspek kehidupan dan Islam juga sama sekali tidak akan menolak kemajuan dan kemodenan.

Namun, haruslah disertai dengan disiplin diri dan keimanan yang kuat dalam menghadapi arus globalisasi.

“Teknologi diciptakan hanya untuk membantu urusan dunia dan tidak sesekali melalaikan atau menyerahkan tugas khalifah sepenuhnya kepada ciptaan manusia.

“Teknologi yang hebat tidak seharusnya dijadikan matlamat untuk mencapai sesuatu tujuan yang tidak baik,” katanya kepada MelakaKini.

Baharudin mengulas mengenai tajuk yang dibentangkan kepada pelajar Fakultas Ushuluddin UIN Suska Riau, baru-baru ini.

Hadir dalam program yang diadakan di Gedung Rektorat UIN Suska Riau itu, antaranya Rektor UIN Prof. Dr. Ahmad Mujahidin; Dekan Fakultas Ushuluddin, Dr. Jamaluddin; Ketua Panitia yang juga wakil Dekan Fakultas Ushuluddin, Dr. Husni Thamrin dan perwakilan Pemprov Riau dan juga wakil mahasiswa.

Sementara itu, Husni berkata, antara sebab kuliah umum ini diselenggarakan adalah bersesuaian dengan keadaan masyarakat Melayu dan Islam dari kedua-dua negara yang berdepan cabaran menegakkan syiar Islam.

“Mengambil kira jumlah penduduk Melayu di Indonesia yang mencapai angka 450 juta saja dan yang tersebar di dunia, namun dalam banyak keadaan mereka belum menjadi tuan rumah di negeri sendiri.

“Bahkan di Champa Vietnam, orang Melayu hanya tinggal kenangan dan bernasib malang padahal Melayu di negeri tersebut pernah capai masa kejayaannya.

“Oleh sebab itu, hal ini tidak boleh terjadi di Indonesia, begitu juga Malaysia dan masyarakat Melayu harus menjadi tuan rumah di negeri sendiri,” jelasnya.

 

CATEGORIES