Pelajari ilmu di ‘luar bilik darjah’

Pelajari ilmu di ‘luar bilik darjah’

SAIFULLAH menerima cendarahati daripada Zurina selepas program.

BUKIT KATIL 4 Okt. – Seramai 250 pelajar Tingkatan 1 dan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil menyertai program Motivasi Modal Insan, baru-baru ini.

Program itu bagi memberi ruang penuh kepada para pelajar untuk terus menimba ilmu bersama motivator untuk berkongsi rahsia kejayaan mereka.

Guru Kaunselor SMK Bukit Katil, Zurina berkata, program itu dapat merapatkan jurang komunikasi di antara pelajar Tingkatan 1 dan 2 dengan pelajar Tingkatan 4 dan 5 tanpa meletakkan halangan atas perbezaan umur.

Katanya, selain mempelajari cara membentuk peribadi yang baik, motivator juga menyarankan para pelajar mempelajari ilmu di luar bilik darjah melalui pembacaan dan pengalaman dan aplikasi ilmu itu untuk menjadi bekalan pada masa hadapan agar menjadi insan berguna untuk agama, bangsa dan tanah air.

“Gejala sosial masa kini telah memberi pengaruh negatif kepada pelajar dan modul motivasi ini juga akan menerapkan para pelajar lebih berdisiplin dan bertanggungjawab.

“Program motivasi ini harus diperluaskan di seluruh Negeri Melaka untuk membantu memartabatkan pendidikan serta meningkatkan jati diri unggul dan taat kepada Allah SWT,” katanya semalam.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Negeri Melaka, Mohd Saifullah Dolmat selaku penganjur bersama berkata, inisiatif ini merupakan program baik untuk melahirkan pelajar cemerlang baik dari segi akademik dan akhlak.

Kunjung hormat pihak GPMS kepada Pengetua SMK Bukit Katil, Abdullah Othman juga telah perolehi persetujuan agar kerjasama antara pihak sekolah dan GPMS Melaka bukan hanya melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi perlu merangkumi aspek akhlak dan sahsiah.

Sokongan dari mahasiswa yang terlibat sebagai fasilitator juga dapat berkongsi idea dan pengalaman bersama pelajar-pelajar terbabit.

Di samping memberi inspirasi kepada mereka untuk terus berusaha dan belajar bersungguh-sungguh selain membentuk keperibadian yang mulia.

CATEGORIES