Pelancongan sihat jadi tema Melaka 2020

Pelancongan Melaka masih kukuh di sebalik wabak Coronavirus

Pelancongan sihat jadi tema Melaka 2020

BATU BERENDAM 10 Feb. – Pelancongan sihat bakal menjadi tema pelancongan negeri Melaka sepanjang 2020.

Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhamad Jailani Khamis berkata, pemilihan tema berkenaan adalah bertepatan memandangkan dunia sedang berdepan cabaran membabitkan isu kesihatan seperti wabak Novel Coronavirus (2019-nCov) dan Influenza A yang sedang berlaku kini.

Jelasnya, antara inisiatif yang akan dilakukan ialah memperkasakan sektor pelancongan yang melibatkan intipati kesihatan, termasuk membabitkan sukan dan makanan.

“Kita nak tekankan lebih kepada kesihatan yang turut membabitkan sukan dan pemakanan supaya pelancongan kita lebih sihat sepanjang tahun ini.

“Tetapi semua itu mesti ada intipatinya. Saya tak mahu bercakap kosong dan kita mesti ada program yang berkaitan untuk menggerakkan lagi tema pelancongan sihat ini. Jika tiada masalah, saya akan melancarkan tema ini tidak lama lagi,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian Melaka Royale Futsal Tournament 2020, baru-baru ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai bekalan air berjadual fasa 2 yang melibatkan sektor pelancongan bermula minggu ini, Muhammad Jailani mengakui tidak begitu gembira dengan pelaksanaan itu.

Namun, jelasnya, semua pihak perlu memahami bahawa negeri sedang dilanda masalah kekurangan taburan hujan, justeru meminta semua pemain industri pelancongan untuk melakukan persiapan.

“Saya berharap semua dapat bersabar memandangkan YAB Ketua Menteri dan agensi terlibat sedang berusaha gigih mengatasi masalah ini. Saya juga berharap semua yang terlibat dapat mengambil langkah proaktif untuk memastikan pelancongan tidak terjejas dan pelancong berada dalam keadaan selesa,” ujarnya.

CATEGORIES