Pemain ‘Gajah Perang’ isi kuota import kelima MU

Pemain ‘Gajah Perang’ isi kuota import kelima MU

PEMAIN kelahiran Thailand, Narupon Wild atau sebelum ini dikenali sebagai Narupon Putsorn sah menjadi pemain yang mengisi kuota import kelima Melaka United (MU).

Perkara ini disahkan sendiri Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA), Damian Yeo Shen Li ketika ditemui MelakaKini selepas merasmikan kejohanan Royale Futsal Tournament Championship 2020, sebentar tadi.

Jelas Shen Li, pemain asal Thailand yang turut memiliki pasport Britain berusia 31 tahun itu bakal bergandingan bersama Jang Suk-Won di posisi pertahanan tengah dan akan diumumkan sedikit masa lagi.

“Sebelum ini memang kita merancang hanya untuk membariskan empat sahaja pemain import, tetapi saya terpaksa membuat pusingan U selepas aksi pra musim di Indonesia.

“Ini kerana beberapa pemain utama kita telah mengalami kecederaan dan dari situ saya melihat ada kekosongan yang besar perlu diisi dan itu membuatkan kita membuat pembelian di saat-saat akhir ini,” katanya.

Shen Li bagaimanapun menegaskan bahawa pembelian tonggak import terakhir itu bukanlah satu pembaziran meski pun, berdepan bajet yang terhad.

“Pemain ini masih di dalam bajet kita, bahkan masih bawah daripada bajet yang kita tetapkan. Ini kerana kita pergi terus kepada pemain dan tidak melalui ejen.

“Walaupun murah, saya percaya pemain ini ada kualiti yang kita harapkan dan boleh mengisi kekosongan di mana-mana ruang.

Jadi, ia bukan satu pembaziran,” jelasnya.

Untuk rekod, Narupon Wild sebelum ini pernah menyarung jersi kelab ternama Thailand seperti Nakhon Ratchasima (2019), Buriram United (2017), dan Bangkok United (2013).

CATEGORIES