Pemain kebangsaan harapan skuad wanita MU julang emas

Pemain kebangsaan harapan skuad wanita MU julang emas

SITI (ihsan UITM)

SKUAD Bola Sepak Wanita Melaka United (MU) membariskan skuad terbaik dalam misi menjulang Piala Tun Sharifah Rodziah 2018 yang akan berlangsung di Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Gambang Pahang bermula 3 November hingga 9 Disember depan.

Pengurus Pasukannya, Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah berkata, bagi edisi kejohanan kali ini, seramai 12 pemain kebangsaan akan mewakili kelab, justeru memberikan saingan sengit dalam misi menjulang gelaran johan.

“Kali ini kita agak serius berbanding edisi sebelumnya, walaupun tidak menjanjikan kejuaraan, tetapi persiapan tahun ini agak rapi berbanding sebelumnya.

“12 pemain kebangsaan di pelbagai posisi kita ambil untuk memperkasakan pasukan tahun ini,” katanya ketika dihubungi, semalam

Siti juga tidak mahu terlalu yakin kerana beberapa pasukan lain turut dikhabarkan melakukan perkara sama.

“Walaupun pasukan kali ini agak rapi dari segi barisan pemain, tetapi saya tidak mahu terlalu yakin.

“Bagaimanapun, saya berharap dengan kombinasi pemain dan jurulatih mampu membuahkan hasil terbaik,” katanya.

Skuad Bola Sepak MU bakal memulakan saingan menentang Pulau Pinang pada 3 November pada jam 9 pagi, sebelum menentang Persatuan Bolasepak Melayu Malaysia (PBMM) bermula pukul 4.15 petang pada keesokkan harinya.

Edisi tahun lalu menyaksikan Skuad Wanita Melaka United terkandas di peringkat kumpulan selepas tewas dalam ketiga-tiga perlawanan peringkat itu.

CATEGORIES
TAGS