Pemaju diberi tempoh setahun laksana pembangunan

Pemaju diberi tempoh setahun laksana pembangunan

ALOR GAJAH 25 Jan. – Kerajaan Negeri Melaka memberi tempoh selama setahun untuk pihak pemaju membangunkan tanah yang telah diluluskan bagi tujuan pembangunan perumahan.

Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, sekiranya pembangunan berkaitan gagal dilakukan, kerajaan negeri akan melantik pemaju yang lain untuk membangunkan tanah tersebut.

“Kerajaan negeri sedang mengenalpasti projek yang telah diluluskan sejak 1994 lagi namun masih belum dibangunkan, akibatnya, tanah tersebut terbiar dan ia mengundang kerisauan penduduk sekitar yang terdedah dengan binatang berbisa seperti ular dan sebagainya.

“Sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambilalih kepimpinan, kerajaan negeri hanya memberi tempoh selama dua tahun sahaja kepada pemaju yang membuat permohonan baru untuk membangunkan projek mereka, namun sekiranya gagal dilaksanakan, pemaju tersebut perlu membuat permohonan baharu.

“Usaha ini diambil berikutan banyak pemaju perumahan yang telah mendapat kelulusan untuk membangunkan tanah tersebut telah gagal yang mengakibatkan tanah-tanah berkenaan terbiar dan semak samun.

“Berikutan itu, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan untuk menaikkan nilai cukai tanah yang melibatkan tanah-tanah terbiar kerana kesannya banyak ditanggung kerajaan termasuk penduduk sekitar,’ katanya.

Beliau berkata demikian kepada media dalam program Hari bertemu Rakyat Perdana Siri-1 2019 yang diadakan di Dewan Masjid Al-Rasyidin di sini, hari ini.

Program Hari bertemu Rakyat Perdana tersebut turut disertai barisan Exco Kerajaan Negeri Melaka termasuk agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Dalam perkembangan lain, Adly memberitahu, kerajaan negeri akan melakukan siasatan terhadap agensi yang berkaitan di atas sikap birokrasi kakitangan ke atas pemilik tanah pusaka yang ingin menjual tanah mereka.

Ini kerana, terdapat aduan berkaitan proses penjualan tanah pusaka menjadi sukar walaupun pada pendapat mereka telah memenuhi kriteria yang ditetapkan agensi terbabit namun masih tidak dapat menjual atau memiliki tanah pusaka.

CATEGORIES