Pemandu Perodua Kenari tampil bantu siasatan kes maut

DURIAN DAUN 14 Feb. – Pemandu Perodua Kenari yang terlibat dalam kemalangan maut di persimpangan lampu isyarat Melaka Sentral, 12 Februari lalu tampil bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, pemandu kereta tersebut hadir ke Balai Polis Melaka Tengah kira-kira jam 5 petang semalam, bagi memberi keterangan lanjut berkenaan insiden terbabit.
“Pemandu lelaki berusia 19 tahun yang juga merupakan pelajar di institut pengajian tinggi (IPT) itu telah hadir dan memberi kerjasama baik dengan pihak polis.
“Kami menahannya untuk siasatan lanjut dan dibebaskan pada hari ini dengan jaminan polis mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Durian Daun, di sini, hari ini.
Pada kejadian 12 Februari, kira- kira jam 10 malam lalu, satu kemalangan maut berlaku membabitkan sebuah Perodua Kenari dan motosikal di persimpangan tersebut.
Pembonceng motosikal dipercayai maut di tempat kejadian selepas kepalanya terhentak di tiang lampu berdekatan lokasi tersebut.
oleh: Faiz Hasan