Pembangunan, kesan sejarah perlu seiring

BANDARAYA MELAKA 4 Mac. – Pembangunan di negeri ini perlu dirancang dengan cara terbaik seiring dengan kesan sejarah yang perlu dipelihara.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia penting bagi memastikan pengiktirafan Melaka sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa- bangsa Bersatu (UNESCO) dapat dikekalkan.
“Saya yakin melalui kajian khazanah dan juga kerjasama dari pelbagai agensi termasuk Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan meningkatkan lagi pembangunan dan sejarah negeri ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Maulidur Rasul Persatuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM) di Jalan Banda Kaba, semalam.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen.
Adly berkata, sambutan seperti itu mampu memberi pendidikan dan pendedahan buat generasi muda untuk mencontoh akhlak peribadi Rasulullah saw.
“Dari sudut pentadbiran negara, perkara ini harus diambil contoh dan diberi tanggungjawab terhadap akhlak kerana ia penting dalam sistem pendidikan masyarakat Islam.
“Malah, pendidikan dan akhlak inilah yang dapat melahirkan masyarakat yang berintegriti, amanah dan bertanggungjawab untuk rakyat,” katanya.