Pembenihan awan hari kedua diteruskan hari ini

Pembenihan awan hari kedua diteruskan hari ini

AYER KEROH 10 Feb. – Operasi Pembenihan Awan (OPA) hari kedua akan diteruskan hari ini susulan kejayaannya dalam menghasilkan hujan ke bumi Melaka semalam.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd Sofi Abdul Wahab berkata, operasi berkenaan dijangka akan dimulakan anggaran 12 tengahari bergantung kepada cadangan dan nasihat Jabatan Metereologi dan faktor awan serta angin.

“OPA akan dimulakan sebaik sahaja keadaan mengizinkan. Ianya memakan masa lebih kurang 2 jam. Kita mengharapkan OPA pada hari ini akan lebih berjaya dari semalam dari segi taburan hujan dan lokasi hujan turun,” katanya dalam satu kenyataan kepada MelakaKini.

Mengulas operasi pembenihan awan yang dilakukan semalam, Mohd Sofi memanjatkan rasa syukur kerana ia berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan.

Namun, ujarnya, jumlah taburan hujan yang berlaku itu masih belum cukup memuaskan.

“Operasi Pembenihan Awan yang dilaksanakan semalam berjaya menghasilkan hujan di beberapa kawasan sasaran seperti Sungai Batang Melaka, Empangan Jus dan juga kawasan tadahan air di daerah Alor Gajah.

“Namun jumlah taburan hujan di kawasan tersebut masih tidak memuaskan kerana hujan hanya turun dengan lebat di kawasan laut,” katanya lagi.

CATEGORIES