Pemerintah negara ‘dibebas’ dengan jaminan polis

JASIN 21 Jan. – Seorang lelaki yang mengakui dirinya ‘pemerintah negara’ dan pemilik kerajaan Malaysia, Sultan Sheikh Ahmad Abdul Kadir Iskandar Zulkarnain, dibebaskan semalam selepas tahanan reman sejak 13 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden Arshad Abu berkata, lelaki berusia 46 tahun itu dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan dengan seorang penjamin yang juga bapa mentuanya.
“Suspek dilepaskan berikutan kertas siasatan masih belum lengkap dan tempoh reman sudah tamat hari ini.
“Kes terbabit akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan nasihat dan arahan lanjut,” katanya kepada media.
Terdahulu, suspek telah mengadakan sidang media di Sungai Rambai dan ditahan polis selepas mendakwa memiliki kekayaan negara ini serta kepentingan di beberapa negara lain di dunia.
Polis turut merakam percakapan 20 individu bagi membantu siasatan ke atas suspek yang punyai empat rekod jenayah membabitkan kes penipuan, curi dalam bangunan dan gagal memberi keterangan sebelum ini di Perak.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan.