Pemilik angsa pelik ‘Jeep’ bertelur

Pemilik angsa pelik ‘Jeep’ bertelur

JASIN 9 Feb – Seorang pemilik angsa di Bemban di sini, terkejut apabila mendapati angsa jantan peliharaannya yang dinamakan ‘Jeep’ mengeluarkan telur seperti angsa betina.

Sulaiman Abd Rahman, 55, berkata, dia menyedari kejadian itu pada pagi Isnin lalu apabila mendapati Jeep dilihat tidak bermaya di bawah rumpun serai wangi.

“Saya mula pelihara Jeep dan seekor lagi angsa betina sejak setahun lalu untuk menjaga kawasan rumah.

“Nak dijadikan cerita semasa duduk di halaman rumah kelihatan Jeep seperti tidak bermaya, ingatkan dia sakit sebab beri makan pun tak mahu rupanya sedang bertelur,”  katanya ketika dihubungi hari ini.

Jelasnya, sehingga semalam jumlah telur yang dikeluarkan Jeep sebanyak lapan biji.

“Saya sangka telur di bawah Jeep itu milik Rose dan terus memaklumkan kepada isteri dan anak-anaknya dan mereka sangka ia satu gurauan.

“Sewaktu melihatnya pagi itu, hanya ada empat biji sebelum bertambah lagi tiga biji dua jam kemudian dan semalam jumlah itu menjadi lapan biji.

“Sejak hari itu Jeep hanya berada di bawah pokok serai wangi dan hanya sesekali bangun masuk ke dalam rebannya untuk berendam bersama Rose,” katanya. 

Menurutnya, sehingga kini dia masih tidak percaya dan pelik dengan situasi dialaminya dan kejadian tersebut menunjukkan tanda- tanda kebesaran ALLAH swt.

Malah, selepas kisah itu viral di laman sosial sejak semalam, Sulaiman menerima panggilan daripada beberapa individu yang menawarkan diri untuk membeli Jeep bersama telurnya, namun dia belum memikirkan perkara tersebut.

CATEGORIES