Pemilik motosikal kes ragut diminta tampil bantu siasatan

DURIAN DAUN 14 Feb. – Polis sudah mengenal pasti pemilik motosikal berhubung kes ragut yang berlaku awal bulan lalu, di Taman Asean selepas ditinggalkan suspek kira-kira dua kilometer dari tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata,
pihaknya mendapati motosikal terbabit bukan motosikal curi, namun menggunakan nombor pendaftaran palsu ketika kejadian.
“Hasil pemeriksaan pada nombor casis enjin mendapati, motosikal tersebut menggunakan nombor pendaftaran palsu dan kita mahukan kerjasama pemilik motosikal untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya ketika ditemui pemberita di Sekolah Menengah Tinggi Perempuan Durian Daun di sini, pagi tadi.
Semalam MelakaKini melaporkan, seorang lelaki berusia 49 diragut bagaimanapun terpaksa berpaut pada peragut tersebut yang membawa lari rantai emasnya.
Dalam kejadian pada 2 Februari lalu, kira-kira 3.30 petang itu, mangsa berpaut kira-kira 500 meter pada motosikal peragut terbabit kemudian berjaya menjatuhkan suspek berhampiran perhentian bas Pangsapuri Bertam Malim.
Namun, suspek berjaya melarikan diri selepas dibantu empat lelaki yang juga dikatakan rakan suspek.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian kira-kira RM11, 000.
oleh: Faiz Hasan