Pemimpin pelajar SDARY terima watikah

Pemimpin pelajar SDARY terima watikah

MERLIMAU 21 Feb. – Sekolah Menengah Kebangsaan Dato’ Abdul Rahman Ya’akob (SDARY) mengadakan Majlis Penyampaian Watikah Pelantikan Pemimpin Pelajar di sekolah terbabit, baru-baru ini.

Pada majlis tersebut, turut dilancarkan Program Jom Ke Sekolah 2019 yang disempurnakan Pegawai Penyiasat Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin, Inspektor Leong Cheong Fei.

Hadir sama, Pengetuanya, Ahmad Kamal Md. Don; Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran dan Akademik, Normah Hamzah; GPK Hal Ehwal Murid, Sokma Abdullah; GPK Kokurikulum, Mardiana Kardiman dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Azlan Mokhtar.

Antara badan disiplin SDARY yang terlibat antaranya badan pengawas, pengawas pusat sumber (PPS) dan pembimbing rakan sebaya (PRS).

Rasional majlis pelantikan tersebut diadakan agar semua pemimpin pelajar akan dapat menyedari akan kepentingan sifat bertanggungjawab mereka dalam membantu melancarkan visi dan misi sekolah.

Pada masa yang sama, dapat membantu menjayakan harapan negara bagi melahirkan lapisan pemimpin yang hebat dan sihat pada aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Sementara, Program Jom ke Sekolah 2019 pula merupakan sebahagian daripada usaha pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam membentuk sahsiah yang terpuji.

Berucap pada majlis tersebut, Cheong Fei berharap, menerusi Program Jom ke Sekolah, ia akan dapat mempertingkatkan kerjasama yang lebih mantap antara pihak sekolah dengan pegawai perhubungan sekolah.

“Program ini juga diharapkan dapat menghindari murid dari ponteng sekolah atau terjebak dengan perilaku yang menyalahi undang-undang serta tidak bermoral sama ada di dalam atau di luar sekolah.

“Saya berharap pemimpin pelajar yang dilantik ini akan dapat menjalankan tugas dan amanah yang diberikan dengan penuh tanggungjawab,” katanya.

CATEGORIES