Penarafan Fitch: Malaysia lakukan kemajuan dalam tangani ketidakpastian

KUALA LUMPUR 31 Jan. – Pakatan Harapan (PH) telah membuat kemajuan dalam menangani ketidakpastian yang muncul selepas pilihan raya umum 2018 mengenai prospek jangka sederhana, kata Fitch Ratings.
Dalam temu bual video yang dikeluarkan dengan agensi penarafan tersebut, Menteri Kewangan Lim Guan Eng menekankan komitmen kerajaan terhadap penyatuan fiskal dalam jangka masa sederhana berikutan hutang awam Malaysia yang tinggi pada 65 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Menteri itu menegaskan bahawa sasaran defisit Belanjawan 2020 sebanyak 3.2 peratus mengimbangi keperluan untuk menyokong pertumbuhan terhadap keperluan untuk mengecilkan defisit dari masa ke semasa, kata Fitch Ratings dalam satu kenyataan hari ini.
Lim juga menyatakan bahawa dividen khas tahun lepas sebanyak RM30 bilion daripada Petronas adalah pembayaran sekali sahaja.
Bagaimanapun, agensi penarafan itu memberi amaran bahawa komitmen terhadap penyatuan fiskal akan diuji sekiranya pendapatan kurang baik atau jika ekonomi Malaysia dilanda kejutan ekonomi baharu, seperti penularan novel koronavirus.
“Terdapat juga risiko yang dikaitkan dengan harga harta tanah Malaysia tinggi dan hutang isi rumah,” katanya.
Agensi penarafan itu berkata unjuran fiskal kerajaan boleh menjadi mencabar jika harga minyak jatuh di bawah jangkaannya, kerana kehilangan pendapatan daripada Cukai Barangan dan Perkhidmatan yang dimansuhkan menjadikan belanjawan lebih bergantung pada hasil minyak.
“Bagaimanapun, ramalan harga minyak kerajaan dalam blenajwan 2020 tidak begitu optimistik, pada US$62 setong, dan sejajar dengan unjuran kami sendiri pada Tinjauan Ekonomi Global bulan Disember bernilai US$62.50 tahun ini,” katanya.
Fitch Ratings berkata dalam temubual video itu, Lim juga menyatakan bahawa kerajaan percaya prestasi ekonomi Malaysia pada tahun ini akan lebih baik berbanding pada 2019.
Agensi itu, yang mengesahkan penarafan Malaysia (A- /Stabil) pada Julai 2019, berkata PH telah membuat langkah penting dalam meningkatkan taraf tadbir urus Malaysia, yang telah membantu meningkatkan penarafan kredit negara.
“Ini telah meningkatkan ketelusan fiskal dan bergerak untuk menangani skandal rasuah seperti 1MDB. Ini telah terbukti apabila kedudukan negara naik pada petunjuk tadbir urus oleh Bank Dunia, peningkatan terbesar penarafan Fitch terhadap pemerintah sebuah negara sepanjang tahun lepas.
“Namun terdapat potensi untuk penambahbaikan lagi kerana petunjuk tadbir urus Malaysia kekal di bawah paras ‘A-‘ berbanding negara lain,” katanya.
— BERNAMA