Penduduk Jalan Pegaga sepakat suburkan silat & memanah

Penduduk Jalan Pegaga sepakat suburkan silat & memanah

JAWATANKUASA persatuan penduduk dah ali-ahli Persataun Penduduk Pegaga bergambar bersama Shoo Chin selepas tamat program.

KESIDANG 1 Okt. – Aktiviti anjuran persatuan penduduk selain dapat memupuk persefahaman, semangat bekerjasama antara penduduk dapat menyatupadukan masyarakat terdiri pelbagai kaum meskipun masih ramai kalangan masyarakat memandang enteng akan kepentingan ini.

Justeru, Persatuan Penduduk Pegaga mengambil pelbagai langkah untuk memupuk semangat kejiranan.

Antaranya, dengan menghidupkan Gelanggang Seni Silat Spelet Gunung Jati dan Kelab Memanah Sunnah bagi meningkatkan konsep saling bermasyarakat di kawasan perumahan mereka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Seah Shoo Chin berkata, aktiviti seumpama itu memerlukan pembabitan semua pihak tanpa mengira kaum yang secara tidak langsung mampu menanam semangat kejiranan.

Katanya, ketidaksamaan taraf sosial dapat dilupuskan melalui pelbagai aktiviti membabitkan masyarakat dan penduduk kerana dalam konsep ini, semua orang berada pada martabat yang sama, seperti kata orang tua, ‘duduk sama rendah, berdiri sama tinggi’.

“Selain itu, kerajaan juga boleh menjadikan sukan memanah sebagai produk pelancongan bagi menarik minat pelancong luar sama ada dari luar negara atau dalam negara supaya tidak hanya datang ke sini untuk menikmati pelbagai makanan menarik, sebaliknya memanfaatkan adat budaya yang dipamerkan.

“Mereka mungkin boleh cuba bermain sukan memanah dengan betul kerana ada setengah mereka tidak tahu memanah, tetapi apabila mereka datang ke Melaka, mereka akan membawa kenangan manis ini ke tempat mereka dan bercerita pula kepada rakan-rakan dan keluarga.

“Saya akan melawat semua kawasan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kesidang bagi memastikan tempat pelancongan dapat diwujudkan seperti di Malim yang ternyata banyak restoran makanan tradisional dan moden.

“Sementara di Taman Merdeka pula ada memanah dan silat,” katanya semasa merasmikan Gelanggang Seni Silat Spelet Gunung Jati dan Kelab Memanah Sunnah di sini, Sabtu lalu.

CATEGORIES