Penerima BSH secara automatis layak sertai Skim PeKa B40

Penerima BSH secara automatis layak sertai Skim PeKa B40

AYER KEROH 4 Feb. – Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) bersama pasangannya berumur 50 tahun ke atas secara automatis layak menyertai Skim PeKa B40 tanpa sebarang pendaftaran.

Menurut kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), skim tersebut mampu menampung 800,000 penerima secara percuma dibiayai kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Katanya, skim tersebut telah diuruskan sendiri oleh KKM melalui syarikat milik kerajaan, ProtectHealth Corporation Sdn. Bhd. (PHCorp).

Jelasnya, ianya bagi meluaskan akses perkhidmatan penjagaan kesihatan berkualiti selaras mengoptimakan penggunaan ekosistem pembekal kesihatan awam dan swasta di negara ini.

Ujarnya, skim PeKa B40 masih lagi dalam projek perintis di bawah KKM dan belum dilancarkan sepenuhnya, namun pelancaran media dilaksanakan Isnin lalu bagi membuka peneriman rakyat.

Menurutnya, perlaksanaan itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam terhadap skim berkenaan untuk membuka ruang KKM mengkaji penerimaan rakyat serta pemegang taruh terhadap skim PeKa B40.

Ujarnya, projek perintis itu satu inisiatif yang memfokuskan jalinan kerjasama awam-swasta melalui pembiayaan dana daripada kerajaan.

“Pemegang taruh swasta akan terlibat dalam proses pemberian manfaat saringan kesihatan kepada pesakit tersebut meliputi pemilik klinik perubatan am swasta dan syarikat perubatan swasta.

“Ianya dilaksanakan bagi memperkasakan perkhidmatan klinik kesihatan primer, sekali gus pertingkatkan kerjasama antara pengamal perubatan di klinik swasta dan kerajaan,” katanya.

CATEGORIES