Pengawas sekolah perlu ada ciri kepimpinan

MALIM 4 Mac – Semua badan pengawas yang diberikan kepercayaan pihak pentadbir sekolah harus melaksanakan tanggungjawab dengan amanah, jujur dan ikhlas.
Pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Kormersial, Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah, Insp. Khairul Anwar Norzlan berkata, mereka (pengawas) harus melunaskan tugas yang dipikul dalam segenap perkara yang dilaksanakan oleh pihak sekolah.
Beliau berkeyakinan, setiap antara mereka yang terpilih sudah melalui satu proses pemilihan yang rapi agar mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan komitmen tinggi bagi membimbing rakan-rakan mereka yang lain semasa berada di sekolah.
“Bagi murid-murid lain pula, saya ingin berpesan agar sentiasa memberi kerjasama kepada semua pengawas yang dilantik ini.
“Saya juga ingin menasihatkan pelajar supaya mengutamakan pelajaran kerana dengan berbekalkan ilmu pengetahuan dan sahsiah yang terpuji sahajalah kehidupan pada masa akan datang akan terjamin,” katanya semasa berucap merasmikan Majlis Watikah Pelantikan Pemimpin Murid 2019 di Dewan Tun Sri Lanang, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Malim di sini, hari ini.
Hadir sama, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Datuk Mokhtar Haron; Pengetuanya, Rosidah Harun dan Guru Penolong Kanan (GPK) Pentadbiran, Siti Zam Dahlan.
Khairul Anwar turut berharap agar pengawas dan pelajar dapat menggunakan pengetahuan yang ada dalam kehidupan seharian untuk membezakan perkara yang baik mahupun buruk.
“Disiplin tinggi akan dapat melahirkan seorang insan yang berguna untuk diri sendiri, keluarga, masyarakat dan negara di masa akan datang,” katanya.