Pengguna masih keliru harga tanpa GST

Pengguna masih keliru harga tanpa GST

BANDARAYA MELAKA 10 Jun – Beberapa kawasan beli-belah dan kawasan bazar raya sekitar negeri ini sesak teruk sejak Jumaat lalu.

Ianya apabila umat Islam mengambil kesempatan sempena cuti sekolah dan cuti perayaan untuk berbelanja sebagai persiapan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi.

Rata-rata orang ramai yang ditemui menzahirkan kelegaan apabila kebanyakan barangan keperluan asas mengalami penurunan harga selepas pelaksanaan kadar sifar peratus cukai barang dan perkhidmatan (GST).

Tinjauan Harapan Melaka (HM) mendapati, orang ramai mengambil peluang membeli-belah dengan berlapang dada kerana tiada lagi cukai GST dikenakan, namun masih ramai yang keliru mengenainya.

Peniaga ‘online’ Hazimah Hazam Khan, 26, berkata, kebanyakan barangan yang dijual di Jalan Hang Tuah punyai kualiti tersendiri serta harga mampu milik untuk rakyat Malaysia dan tidak ada bezanya sama ada dikenakan GST atau tidak.

“Tidak perlu risau berbelanja di sini kerana kita boleh melakukan tawar-menawar dengan penjual dari satu kedai ke kedai lain untuk mendapatkan barangan yang kita inginkan.

“Banyak kedai menawarkan promosi menarik, namun kita sebagai pengguna perlu bijak berbelanja untuk kepuasan diri sendiri demi meraikan Aidilfitri yang datang setahun sekali,” katanya jadi di sini kesan ketiadaan GST itu tidak ketara sangat.

Bagaimanapun, menurut Hazimah, dia hairan kerana jualan promosi tanpa GST seakan-akan hanya promosi untuk beberapa hari sahaja, sedangkan tanpa GST harga murah ini perlu diteruskan tanpa had masa.

“Minggu lalu, saya berbelanja membeli lampin pakai buang satu jenama terkenal di sebuah pasar raya dan ada perbezaan dua ringgit tanpa GST, kelmarin pula saya beli produk dan jenama sama di kedai sama, tetapi harga kembali kepada asal dan tiada lagi penjimatan dua ringgit tersebut.

“Saya hairan kata tiada GST sepatutnya kekalkan harga yang lebih murah selama-lamanya, tapi kenapa seminggu sudah lain semula. Jadinya, apa beza ada GST atau tidak?

“Kemudian saya ke pasar raya lain untuk meninjau harga lampin pakai buang jenama kegemaran tersebut, tetapi harganya mahal pula dari pasar raya yang saya kunjungi sebelum ini.

“Saya sebenarnya keliru apa harga yang sebetulnya bagi produk yang tiada GST ini,” soalnya ketika ditemui.

Ahli NGO, Maznah Ibrahim berkata, dia teruja dan merancang berbelanja lebih menjelang musim perayaan, apatah lagi dengan penetapan baharu GST pada kadar sifar mulai 1 Jun yang dikatakan dapat meningkatkan kuasa beli pengguna, pasti sedikit sebanyak mempengaruhi keinginan para pengguna untuk “beraya sakan”.

Katanya, keterujaan untuk membeli-belah, bagaimanapun perlu dikawal bagi mengelakkan berhadapan masalah kewangan kelak, sebagai pengguna sewajarnya mengambil tahu dan meletakkan keutamaan dan membezakan antara keperluan dan kehendak sebelum membeli-belah.

“Perlu diingat bahawa keperluan adalah sesuatu yang mesti dipenuhi untuk meneruskan kehidupan dan keperluan bagi setiap manusia adalah sama.

“Manakala kehendak pula adalah sesuatu yang ingin dimiliki sebagai pelengkap kepada keperluan dan ia berbeza antara individu.

“Sama ada harga murah atau tidak, ada GST atau tidak, nasihat saya kepada semua eloklah berbelanja secara berhemah bukan untuk beraya semata-mata, sebaliknya perlu memikirkan faktor kewangan selepas raya,” katanya.

Seorang guru, Norliza Md. Yamin berkata, selepas GST dimansuhkan dia punyai hobi baharu iaitu akan sentiasa menyimpan dan menyemak resit perbelanjaan setiap kali berbelanja.

“Saya sudah mula membeli barang keperluan semalam. Selain beli apa yang perlu, saya akan simpan resit perbelanjaan. Ini bagi memastikan kiraan itu betul dari peniaga.

“Mungkin kerajaan punya matlamat sendiri mengapa GST dilaksanakan dalam negara.

“Sebagai pengguna. saya takut peniaga yang tidak berdaftar turut mengenakan GST dan mengambil kesempatan ke atas pengguna. Sebab itu penting untuk kita simpan resit dan selalu semak semula,” katanya.

Kata Norliza, dia hanya utamakan pembelian ke atas barangan yang perlu sahaja dan mengurangkan pembelian ke atas barang tertentu.

“Saya juga membuat perbandingan dengan beberapa pasar raya sebelum ini untuk membeli barang dapur.

“Harga tidak jauh berbeza. Ada harga barangan yang naik, ada yang turun dan untuk barang terkawal masih pada harga yang sama.

“Kita sudah kena tukar cara berbelanja. Apa yang saya lakukan dengan membeli barang yang perlu saja dan yang kurang perlu, saya masih beli, tetapi dalam kuantiti yang sedikit dari sebelum ini. Bermakna saya kurangkan pembeliannya,” katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Idayu Yusuf berkata, selepas dimaklumkan dengan ketiadaan GST harga kereta juga turun, dia mengambil kesempatan membeli sebuah kerata nasional bagi kegunaan keluarganya.

“Selepas menerima penerangan dari penujal, dia menggalakkan saya menggunakan kesempatan ini untuk membeli kenderaan tempatan keluaran Proton, jadi saya fikir itu adalah yang terbaik untuk membeli kenderaan pada musim perayaan ini.

“Saya juga dimaklumkan bahawa tawaran kadar sifar GST juga dipanjangkan kepada semua pusat servis Proton yang diiktiraf dengan diskaun enam peratus (untuk kos pekerja dan alat ganti penyelenggaraan berkala saja).

“Itu juga adalah alasan baik untuk saya jika membeli kenderaan jenama tersebut pada masa ini kerana tanpa cukai GST, ini juga ditawarkan kepada semua pemilik yang menghantar kereta mereka untuk penyelenggaraan berkala,” katanya.

CATEGORIES
TAGS