Pengusaha kantin sekolah diberi pengecualian sewa Mac dan April
Alhamdulillah dan terima kasih kerajaan negeri...

AYER KEROH 19 Mac – Kerajaan negeri memberi pengecualian sewa bagi bulan Mac dan April kepada penguasaha kantin sekolah di negeri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan akibat wabak Covid 19.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali berkata, pengecualian itu membabitkan pengusaha kantin sekolah menengah dan kebangsaan di negeri ini.
Katanya, kerajaan negeri menerima aduan daripada pengusaha kantin sekolah yang memaklumkan pendapatan mereka terjejas susulan sekolah diarahkan tutup dalam tempoh perintah kawalan pergerakan selama dua minggu itu.
“Apabila sekolah ditutup, pendapatan mereka terjejas maka kerajaan negeri bersetuju memberikan pengecualian sewa bagi bulan Mac dan April,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, semua pengusaha kantin sekolah diminta mengemukakan permohonan mengenai pengecualian itu menerusi Jabatan Pendidikan Negeri.
“Saya mengarahkan Datuk Noor Effandi (Exco di Jabatan Ketua Menteri – Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknikal dan Vokasional, Sains dan Inovasi) untuk berhubung dengan Jabatan Pendidikan Negeri mengenai perkara itu,” katanya.
Isnin lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan semua taska, sekolah kerajaan dan swasta termasuk sekolah harian, berasrama penuh, sekolah antarabangsa dan lain-lain institusi pendidikan rendah, menengah dan pra-universiti akan ditutup.
Arahan itu berkuatkuasa sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini.