Peniaga harus patuhi skim kawalan harga ditetapkan – Saminathan

BANDARAYA MELAKA 31 Jan. – Para peniaga di negeri ini diingatkan supaya tidak menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC) 2019.
Exco Perpaduan, Sumber Manusia, NGO & Hal Ehwal Pengguna, G. Saminathan berkata, sebanyak 13 jenis barangan harga kawalan disenarai di bawah skim kawalan harga berkuat kuasa 10 hari bermula 30 Januari hingga 8 Februari ini.
Katanya, barangan tersebut meliputi kategori ayam, telur ayam, hasil laut, barang kering dan daging babi.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan.
“Kita menggalakkan peniaga menjual barangan harga terkawal ini lebih rendah berbanding harga maksimum,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Pelaksanaan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina 2019 di Pasar Raya Tesco di sini, pagi tadi.
Sementara itu, Ketua Pegawai Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri, Azeem Nazuri berkata, sejak pelaksanaan skim itu bermula semalam, pihak kementerian masih belum menerima sebarang aduan berhubung kesalahan penjualan barang harga terkawal melebihi harga maksimum.
Katanya, kesemua barangan tersebut mendapat permintaan tinggi oleh masyarakat yang menyambut perayaan.
Ujarnya, kawalan harga ke atas barangan tersebut dibuat bagi menstabilkan harga dan bekalannya di pasaran.
Jelasnya, bagi membendung kenaikan harga yang tidak munasabah, peniaga tidak bertanggungjawab akan diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.
“Bagi kesalahan menjual barangan harga terkawal melebihi harga maksimum membabitkan individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya atau dikompaun sehingga RM50,000.
“Manakala bagi kesalahan membabitkan syarikat boleh didenda hingga RM500,000 atau dikompaun sehingga RM250,000.
“Peniaga yang gagal meletakkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan harga terkawal pula akan didenda mahkamah sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000 bagi kesalahan individu.
“Manakala kesalahan sama membabitkan syarikat boleh didenda hingga RM20,000 atau dikompaun hingga RM10,000,” katanya selepas meninjau barangan terkawal di pasar raya tersebut.
Katanya, pengguna yang mendapati ada peniaga tidak mematuhi undang-undang mengenai skim ini boleh menyalurkan aduan kepada kementerian dengan hubungi talian 03-8000 8000 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) atau talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) 03-8882 6088/6245.
Aduan juga boleh dibuat menerusi apikasi telefon pintar Ez ADU atau e-mel ke alamat e-aduan@kpdnkk.gov.my atau WhatsApp ke 019-279 4317 atau hadir ke mana-mana pejabat KPDNKK di seluruh negara.