Peniaga jangan lupa patuhi arahan!

ALOR GAJAH 8 Mac – Satu sesi Taklimat Kawasan Larangan Merokok diadakan bagi memberi pendedahan perkara tersebut secara terus kepada peniaga dan penjaja kecil di kawasan Alor Gajah.
Yang Dipertua Majlis perbandaran Alor Gajah (MPAG), Zamzuri Ariffin berkata, program itu diadakan melalui kerjasama Jabatan Kesihatan Daerah Alor Gajah dan Persatuan Peniaga & Penjaja Kecil Alor Gajah Dan Masjid Tanah.
Menurutnya, taklimat berkenaan membicarakan mengenai pewartaan larangan merokok di premis makanan dan penerangan berkaitan dasar- dasar perlesenan MPAG.
“Pengusaha mahupun pemilik premis perlu memastikan tanda larangan merokok yang jelas diletakkan di tempat yang boleh dilihat, malah memastikan tiada pelanggan yang merokok berada di dalam kawasan premis.
“Peraturan menghadkan kawasan yang dibenarkan merokok terutama di kawasan tumpuan orang awam sekali gus mampu membudayakan amalan tidak merokok dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada MelakaKini.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap perokok dan pemilik premis yang tidak mematuhi peraturan ditetapkan malah akan dikenakan tindakan di bawah Akta Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004.
Menurut Zamzuri lagi, pengusaha atau pemilik premis boleh dikenakan tindakan sekiranya mereka gagal mempamerkan papan tanda larangan merokok dengan jelas.
“Sekiranya gagal mereka akan didenda tidak melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enan (6) bulan.
“Manakala bagi kesalahan gagal memastikan tiada orang merokok dan menyediakan kemudahan untuk merokok, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi satu (1) tahun.
“Arahan ini sebenarnya sudah lama wujud bagaimanapun hanya membabitkan restoran tertentu sahaja, namun kali in, semua restoran bertutup, berhawa dingin dan warung berkonsep terbuka perlu mematuhi arahan ini,” katanya.