Penjawat awam jentera pembangunan negara – Adly

Penjawat awam jentera pembangunan negara – Adly

AYER KEROH 29 Okt. – Penjawat awam merupakan jentera terkuat melaksanakan segala urusan bagi membangunkan negara dan negeri.

Mereka juga hendaklah meyakini sistem keberkecualian Perkhidmatan Awam dan patuh kepada kerajaan semasa mengurus dan mentadbir negeri dan negara.

Ini kerana perkhidmatan awam mempunyai pengaruh yang besar ke atas kesejahteraan dan perkembangan negara.

Justeru itu, kata Ketua Menteri, Adly Zahari, penting bagi pihak kerajaan negeri dan penjawat awam berkongsi nilai-nilai demokrasi seperti berhemah menzahirkan pandangan, meraikan perbezaan pendapat dan bersikap adil.

Katanya, penjawat awam juga perlu sentiasa bersangka baik, saling menghormati dan mendahulukan kepentingan pelanggan iaitu rakyat selaras prinsip sistem Demokrasi Berparlimen.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar menyokong pentadbiran Kerajaan Berwibawa yang mengamalkan pemerintahan bersih dan beramanah di samping membudayakan nilai-nilai murni.

Nilai-nilai murni itu seperti berdisiplin, rajin, berani, adil, sentiasa bersangka baik, hormat-menghormati, tertib, sopan serta berbudi bahasa.

“Penjawat awam juga hendaklah berkhidmat kepada kerajaan tanpa takut atau pilih kasih.

“Sekiranya diarah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang negara, maka menjadi tanggungjawab penjawat awam untuk tidak mengikuti arahan itu selaras cogan kata ‘Saya yang Menjalankan Amanah,” tegasnya.

Adly berkata demikian semasa berucap merasmikan Bicara Perundangan Siri 2/2018-Struktur Kerajaan dan Sistem Pentadbiran Perkhidmatan Awam di Auditorium Seri Negeri di sini, hari ini.

Hadir sama, Ahli-Ahli Exco Kerajaan Negeri, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Mohamad Abazafree Mohd Abbas; ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan serta penjawat awam.

Jelas Adly, pegawai-pegawai kanan pula perlu punyai keupayaan untuk memberikan nasihat yang betul apabila berlaku perkara melibatkan percanggahan kepentingan agar tugasan boleh dijalankan dengan penuh amanah.

“Pada masa sama, pihak kerajaan juga perlu bersedia menerima nasihat yang betul demi mematuhi undang-undang dan peraturan ditetapkan, sekali gus dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan penuh integriti dan jujur.

“Mereka yang sempurna kerjanya dan mengamalkan nilai murni, lambat laun akan dihormati dan disegani.

“Ini juga akan membantu melonjakkan taraf Perkhidmatan Awam yang dinamik dan efisien serta memenuhi hasrat rakyat dan juga pelanggan,” katanya.

Bicara Perundangan Siri 2/2018-Struktur Kerajaan dan Sistem Pentadbiran Perkhidmatan Awam anjuran Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri dengan kerjasama Jabatan Ketua Menteri itu telah disampaikan Penasihat Undang-Undang Jabatan Perkhidmatan Awam, Norazmi Mohd Narawi.

CATEGORIES
TAGS