Penjawat awam tiada alasan untuk ‘tidak bersukan’

Penjawat awam tiada alasan untuk ‘tidak bersukan’

AYER KEROH 25 Sept. – Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Melaka, Datuk Wira Roslan Ibrahim menyifatkan tiada alasan bagi penjawat awam untuk tidak bersukan kerana banyak fasiliti sukan telah disediakan di setiap kompleks kerajaan.

Katanya, negara mensasarkan 50 peratus rakyat bersukan menjelang tahun 2020 bagi melahirkan rakyat yang sihat dan cergas serta terhindar dari pelbagai penyakit.

Jelasnya, dari sasaran tersebut, golongan penjawat awam sewajarnya menjadi contoh terbaik di mata masyarakat awam dalam mengamalkan gaya hidup sihat dengan amalan bersukan.

“Sukan merupakan medium memupuk perpaduan serta pergaulan yang sihat di antara kaum dan rakan sekerja.

“Walaupun kita semua sentiasa sibuk dengan tugasan harian di pejabat dan di rumah, soal penjagaan kesihatan haruslah dijaga.

“Tiada alasan untuk kita tidak bersukan kerana banyak gelanggang dan fasiliti disediakan sama ada di kompleks kerajaan mahupun di kawasan taman perumahan,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Serah Bendera Kontinjen Negeri Melaka Ke Sukan SUK SeMalaysia Kali Ke VII Kelantan Darul Naim di Seri Negeri, petang tadi.

Sementara itu, Roslan mengucapkan selamat maju jaya kepada kesemua 170 peserta yang terlibat dan mendoakan setiap mereka dapat mengharumkan nama Melaka dalam kejohanan itu.

“Saya tidak meletakkan sasaran utama pingat emas bagi semua acara tetapi saya mengharapkan kesemua peserta dapat melakukan sesuatu sehabis baik dalam semua acara yang disertai.

“Jika dapat sampai ke peringkat akhir dan memenangi acara tersebut, saya kira ia bonus buat kontinjen Melaka,”tambahnya.

Negeri Kelantan menjadi tuan rumah kejohanan Sukan SUK SeMalaysia Kali Ke VII dan akan berlangsung pada 30 September hingga 4 Oktober ini.

CATEGORIES
TAGS