Penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Negeri kurangkan kerenah birokrasi
Urusan pelaburan lebih pantas selepas ini

PAYA RUMPUT 14 Feb. – Penubuhan Jawatankuasa Pelaburan Negeri bakal mengurangkan segala kerenah birokrasi dan mempercepatkan segala urusan pelaburan di negeri ini.
Exco Perindustrian, Perdagangan dan Pelaburan negeri, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata, kewujudan jawatankuasa khas ini membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa mementingkan kemasukan pelaburan bukan sahaja dari luar bahkan dari dalam negara.
“Jawatankuasa ini diwujudkan untuk mengurangkan segala kerenah birokrasi yang mana kita akan meluluskan dengan pantas syarikat-syarikat yang ada keupayaan, kedudukan kewangan yang baik dan mempunyai pengalaman luas dalam satu-satu bidang.
“Saya percaya selepas jawatankuasa ini ditubuhkan nanti, kita akan dapat lihat Melaka membangun dengan lebih cepat dan pantas,” katanya ketika ditemui selepas penyampaian Bantuan Awal Persekolahan di SMK Paya Rumput, semalam.
Pada masa sama, Mohd Rafiq berkata, kerajaan negeri turut mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Pelaburan Negeri yang akan mengumpulkan semua agensi teknikal seperti Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia, Pejabat Daerah dan Tanah serta pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memberikan satu sokongan teknikal serta mempercepatkan pembinaan projek-projek pelaburan yang akan diluluskan nanti.
Tambahnya, nilai pelaburan yang disasarkan tahun ini masih sama seperti tahun lalu iaitu RM5 bilion.