Penubuhan MAIoT ekosistem mampan : UTeM sedia sumbang kepakaran

DURIAN TUNGGAL 24 Jan. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini, menerima kunjung hormat Exco Komunikasi, Multimedia, Pembangunan Belia & Sukan, Kerk Chee Yee.
Kunjungan melalui Pejabat Penolong Naib Canselor (Jaringan Industri & Masyarakat) UTeM bagi membincangkan kelestarian Negeri Melaka berkembang maju seiring teknologi digital dunia masa kini.
Kunjung hormat itu disertai wakil dari Pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Pejabat Belia & Sukan, Telekom Malaysia (TM) dan Multimedia University (MMU).
Ianya dalam merancang menubuhkan Melaka Artificial Intelligent of Things (MAIoT) sebagai usaha mewujudkan ekosistem yang mampan.
Di samping berupaya menyokong kemajuan yang pantas dalam teknologi digital dunia memfokuskan jalur lebar.
Kewujudan MAIoT dijangka dapat membantu dan mengembangkan kelestarian pembangunan Negeri Melaka yang menjadi teras kepada motto negeri, Melaka Berwibawa, Pintar, Hijau, Bersih.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM, Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim mewakili Naib Canselor UTeM dalam ucapannya berkata, UTeM berbesar hati dapat membantu dalam projek MAIoT.
Selain sedia memberi kepakaran dalam kalangan pelajar dan pensyarah yang komited memajukan Melaka menerusi Artificial Intelligent dan Internet of Things.
Menurutnya, UTeM bersedia mencapai fokus MAIoT dalam membimbing golongan yang berminat dengan dunia teknologi dan internet terutamanya belia.
Ujarnya, ini kerana mereka boleh menjadi pemudah cara agar idea yang dilahirkan dapat diketengahkan, sekali gus membantu mengubah social dan ekonomi negara dan masyarakat.
MAIoT dijangka akan membantu Melaka ke arah menuju ‘Smart City’ dan “Smart Community” pada masa hadapan selain memberi penyelesaian kepada beberapa masalah dihadapi Melaka.
Jelasnya, ia seperti kesesakan lalu lintas, denggi dan banjir kilat dan MAIoT dijangka mampu menjadi satu budaya positif dalam usaha kerajaan negeri meningkatkan taraf serta kualiti hidup rakyat.
Kunjung hormat tersebut turut disertai barisan pengurusan tertinggi UTeM bersama Pengarah Multimedia University (MMU) Kampus Melaka, Dr. Mohd Rizal Abdul Razak; Pengarah Kanan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Aisharuddin Nuruddin; Pengurus Besar TM Melaka, Meor Shahril Anuar Rathuan dan para pegawai mereka.