Peranan sidang masih relevan – Adly

AYER KEROH 1 Mac. – Kerajaan negeri mengiktiraf peranan sidang sebagai ketua adat yang membawa imej kepimpinan bagi menegakkan keadilan rakyat.
Ketua Menteri, Adly Zahari berkata, ia sekali gus bagi memastikan kesinambungan kepimpinan adat yang diwarisi sebelum merdeka itu dipelihara.
Menurutnya, sidang menjadi penggerak kepada kelangsungan agenda kerajaan negeri bagi memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Sidang masih relevan peranannya dalam masyarakat untuk menjadi pemimpin kepada masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Surat Pemakluman Pelantikan dan Ikrar Bebas Rasuah Sidang Negeri Melaka Tahun 2019 di Seri Negeri, hari ini.
Jelas Adly, kerajaan negeri juga bersetuju tempoh perkhidmatan beberapa jawatan utama di peringkat masyarakat ditambahbaik.
“Ini termasuk tempoh perkhidmatan sidang yang ditetapkan untuk tempoh satu tahun disambung semula berdasarkan prestasi dan komitmen sebagai ketua adat di negeri ini,” katanya.