Peratusan warga emas Melaka meningkat

Peratusan warga emas Melaka meningkat

CHEE Leong (tengah) memotong kek sebagai simbolik perasmian Konferens Penuaan Sihat Kebangsaan Peringkat Zon Selatan di MITC, semalam.

AYER KEROH 1 Okt. – Peningkatan peratusan warga emas berusia 60 tahun ke atas menjadi cabaran besar negara dan ia perlu diatasi secara bersepadu dari semua pihak.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah, Low Chee Leong berkata, bagi mengatasi cabaran itu, satu sistem sokongan alternatif membantu warga emas perlu diwujudkan.

Katanya, di Melaka peratusan golongan warga emas telah meningkat dari 8.9 peratus pada tahun 2010 kepada 13 peratus pada tahun ini.

“Berbanding peratusan warga emas di peringkat kebangsaan dalam tempoh tahun 2010, 7.57 peratus dan meningkat 10 peratus tahun ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Konferens Penuaan Sihat Kebangsaan Peringkat Zon Selatan di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini, hari ini.

Jelasnya, jumlah penuaan penduduk di Melaka menunjukkan ia lebih tinggi dari peringkat nasional.

“Ini sekali gus membuktikan penjagaan kesihatan di negeri ini adalah terbaik, optimum serta menyeluruh kepada semua rakyat,” katanya.

Katanya, dengan adanya Jawatankuasa Program Warga Emas sejak 2010, pada tahun 2011 tertubuhnya Persatuan Gerontologi Negeri Melaka.

“Persatuan ini tindakan tepat bagi meneruskan agenda menaikkan taraf kesihatan warga emas secara sah mengikut Perlembagaan Perundangan negara.

“Persatuan ini diuruskan dengan sempurna dan bergerak aktif dengan penambahan keahliannya dari masyarakat berbilang kaum di Melaka,” katanya.

Hadir sama, Penegrusi Persatuan Gerontologi Negeri Melaka selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengelola Konferens, Dr. Rusdi Abd. Rahman.

CATEGORIES