Perigi tiub alternatif terbaharu atasi gangguan bekalan air
Inisiatif terbaik tanpa mengharap bantuan kerajaan semata-mata

PANTAI KUNDOR 14 Feb. – Jawatankuasa Penyelarasan dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor memulakan langkah awal memasang perigi tiub (tube well) di kawasan berkenaan sebagai salah satu inisiatif terbaharu mengatasi gangguan bekalan air.
Penyelarasnya, Juhari Osman berkata, pada masa ini terdapat beberapa lokasi yang telah dimulakan projek perigi tiub itu melibatkan kos lebih RM5,000.
“Konsep perigi tiub ini ialah paip akan dimasukkan ke dalam tanah sehingga jumpa mata air. Dari situ pam akan dipasang untuk mengambil air dan paip akan dibuat untuk mengambil air berkenaan.
“Antara perigi tiub terawal dibina ialah di Masjid At-Taqwa Bukit Darat yang sudah boleh digunakan sejak dua bulan lalu bagi menangani masalah gangguan air yang melanda negeri ini.
“Selain itu, kita juga merancang untuk memasang satu lagi perigi tiub di kawasan Japerun dan kawasan lain yang bersesuaian bagi membolehkan orang ramai yang terjejas mengambil air di sini,” katanya.
Selain itu, ujarnya, pihak Japerun bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) turut bertindak membersih dan mengaktifkan semula perigi-perigi yang ada di kawasan Bukit Darat, Pengkalan Perigi, Bukit Gedong, Tanjung Kling dan Tangga Batu Pekan bagi memudahkan urusan rakyat di kawasan sepanjang program bekalan air berjadual.