Perkampungan Hang Tuah kekalkan tradisi Melayu

Perkampungan Hang Tuah kekalkan tradisi Melayu

SEBAHAGIAN pelajar yang menyertai program Lawatan Ilmiah di HTC.

DUYONG 26 Sept. – Perkampungan Hang Tuah di Kampung Duyong merupakan inisiatif mengangkat kampung itu sebagai tempat kelahiran Hang Tuah seperti terdapat dalam catatan sejarah.

Terdapat pembangunan di perkampungan itu seperti Muzium Hang Tuah, rumah lima pembesar iaitu rumah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi Hang Lekir dan Hang Lekiu iaitu dalam satu komponen Hang Tuah Centre (HTC).

Ia mempunyai beberapa tarikan seperti rumah-rumah Melayu tradisional, Balai Adat dan Pusat Tenun Melaka yang sering diadakan program-program berkaitan seni dan budaya.

Manakala di HTC pula kerap adanya program Lawatan Ilmiah yang mendapat tempat dari pelawat terutama dari sekolah dan institusi pengajian tinggi.

Terbaharu, seramai 27 pelajar dari Fakulti Warisan, Pelancong dan Seni Kebudayaan, Kolej Universiti Yayasan Pahang telah mengikuti program tersebut pada 22 September 2018.

Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM), Datuk Khamis Abas berkata, kali ini pihaknya dengan Pusat Warisan dan Kebudayaan Melayu (PERANTARA) mengadakan modul tambahan kepada program lawatan ilmiah sedia ada.

“Sebelum ini, ia hanya melibatkan sesi di mana peserta mengikuti aktiviti-aktiviti seperti lawatan berpandu ke muzium, kuiz, latihan dalam kumpulan dan aktiviti memanah tradisional.

“Atas permintaan peserta, terdapat tambahan aktiviti dijalankan iaitu teknik membuat dan menyolek destar serta teknik ikatan samping,” katanya.

Khamis berkata, program itu bagi memberi variasi kepada pelawat yang berkunjung ke muzium.

“Pelawat di muzium punyai beberapa kategori, ada yang datang sekadar lawatan biasa dan ada juga yang ingin melaksanakan aktiviti untuk pengalaman dan ilmu pengetahuan.

“Justeru, dengan adanya program ini, ia dapat memenuhi kehendak pelawat yang inginkan aspek pendidikan,” katanya.

Ujar Khamis, tradisi Melayu dapat dikekalkan di HTC dengan adanya program-program memperkasakan jati diri Melayu.

Selain binaan-binaan yang masih mengekalkan seni bina alam Melayu untuk tatapan generasi kini dan akan datang.

CATEGORIES