Permohonan lanjut pengajian TVET kini dibuka!

MASJID TANAH 8 Mac – Permohonan bagi melanjutkan pengajian ke Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) atau mana- mana institusi kemahiran di bawah agensi berkenaan dibuka bermula 4 Mac lalu.
Pengarah KKTM Masjid Tanah, Azman Ali berkata, permohonan bagi kemasukan sesi Julai 2019 dibuka sehingga 22 April ini dan aplikasi permohonan boleh dibuat secara terus di atas talian.
Menurutnya, pemohon boleh melayari laman sesawang www. tvetmara.edu.my., selain permohonan juga boleh dibuat melalui UPU di laman, http://upu.moe.gov.my dan juga laman web Unit Pusat Institusi MARA (UPIM), http://apponline.mara.gov.my/spupim.
“Selain itu, pemohon juga boleh hadir secara terus ke KKTM Masjid Tanah pada waktu pejabat dengan membawa salinan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) serta salinan surat beranak.
“Terdapat pelbagai kursus ditawarkan di kampus ini seperti Diploma Teknologi Kejuruteraan Pemprosesan Polimer Komposit, Diploma Teknologi Kejuruteraan Pemprosesan Seramik, Diploma Teknologi Kejuruteraan Pemprosesan Plastik dan Diploma Teknologi Kejuruteraan Automotif serta pelbagai lagi.
“Semua pelajar yang mengikuti pengajian di KKTM Masjid Tanah ini akan menerima pembiayaan pengajian dari MARA khususnya bagi golongan B40 serta masyarakat dari luar bandar,” katanya ketika dihubungi MelakaKini, semalam.