Perniagaan terjejas teruk boleh jangkakan bantuan terus daripada pakej rangsangan – Ong

Perniagaan terjejas teruk boleh jangkakan bantuan terus daripada pakej rangsangan – Ong

KUALA LUMPUR 20 Feb. – Perniagaan yang terjejas teruk akibat penularan COVID-19 boleh menjangkakan bantuan terus di bawah pakej rangsangan ekonomi terutamanya yang terlibat dalam sektor pelancongan, runcit dan penerbangan, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

“Kami telah memberikan cadangan kami dan saya yakin Kementerian Kewangan akan mengambil pandangan yang adil untuk menyelaraskan semua usaha,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Zon Perdagangan Pintar (STZ) Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Ong juga berkata prestasi perniagaan dijangka pulih semula pada separuh kedua tahun ini dan meminta pemain industri bersiap sedia untuk menarik lebih ramai pelabur dari China dan syarikat multinasional, memandangkan persekitaran Malaysia yang stabil dan mesra perniagaan.

“Berikutan penularan COVID-19, kita juga berpandangan optimistik dalam berhati-hati bahawa kita boleh terus menarik pelaburan berkualiti sebaik sahaja perniagaan kembali seperti biasa,” katanya.

Sementara itu, mengenai STZ, beliau berkata kemudahan itu akan membolehkan perniagaan untuk bertumpu dan mendapatkan peluang berpotensi baharu, terutamanya menerusi Program Rakan Kongsi Pintar.

Program itu menyediakan peluang kerjasama kepada perniagaan, membolehkan mereka menyertai forum perniagaan, perundingan dan misi global serta memudahkan perkongsian data dan sumber menerusi aplikasi mudah alih STZ.

“Pengguna boleh mengharapkan kemudahan untuk menempah ruang mesyuarat, mengkaji semula acara mereka dan mendapatkan kod QR sebagai kad perniagaan maya,” kata Ketua Pegawai Eksekutif  MITEC Gunther Beissel.

Beliau berkata ahli-ahli STZ akan dapat menggunakan kemudahan itu secara percuma bagi tempoh enam bulan pertama daripada pendaftaran mereka.

— BERNAMA

 

CATEGORIES