Perpustakaan negeri lanjut operasi hingga 9 malam

BUKIT BARU, 27 Feb. – Perpustakaan negeri di Bukit Baru akan melanjutkan tempoh masa perkhidmatan kepada orang ramai sehingga jam 9 malam setiap Selasa hingga Jumaat bermula semalam.
Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, tempoh masa perkhidmatan yang dilanjutkan itu merupakan salah satu usaha PERPUSTAM dalam memperluaskan kumpulan sasar dan kategori pengunjung ke perpustakaan.
“Pada masa ini, perpustakaan negeri memberi perkhidmatan setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 5 petang, manakala Sabtu dan Ahad pula dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang.
“Mulai 26 Februari ini, ia akan dibuka dari jam 10 pagi hingga 9 malam setiap Selasa hingga Jumaat; Sabtu dari jam 9 pagi hingga 5 petang dan Ahad dari jam 9.30 pagi hingga 2 petang manakala Isnin ditutup kepada pengguna,” katanya.
Mohamed Aizammuddy berkata, perlanjutan waktu perkhidmatan sehingga jam 9 malam itu akan dilaksanakan bagi membolehkan PERPUSTAM mengoptimumkan penggunaan perkhidmatan di perpustakaan negeri kepada orang ramai.
Katanya, sementara waktu perkhidmatan di semua rangkaian perpustakaan cawangan lain tidak berubah dan kekal seperti biasa.
“PERPUSTAM sebagai sebuah agensi kerajaan yang terlibat secara langsung dengan masyarakat dalam penyediaan perkhidmatan sentiasa berusaha memastikan ia relevan dengan peredaran zaman dan berkualiti tinggi demi mengekalkan kewibawaan perpustakaan sebagai sebuah pusat ilmu dan maklumat,” katanya.
Oleh MUHAMMAD ZAIDEE DAUT