PERPUSTAM penggerak aktiviti membaca & penyebaran ilmu

PERPUSTAM penggerak aktiviti  membaca & penyebaran ilmu

MOHAMED Aizammuddy menyampaikan hadiah bagi Pertandingan Cantuman Kasih sempena Pesta Buku Melaka 2018 kepada salah seorang pemenang, Sabtu lalu.

BACHANG 1 Okt. – Sebanyak 68 rangkaian perpustakaan awam terdapat di seluruh Negeri Melaka meliputi sebuah perpustakaan negeri, empat perpustakaan cawangan dan tiga perpustakaan komuniti akan menggerakkan aktiviti perbukuan dan pembacaan dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM).

Pengarahnya, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, selain itu dua perpustakaan Pekan, 54 perpustakaan desa, dua buah bas bergerak buku dan dua bas bergerak berkomputer turut bekerja keras bagi mencapai misi dan visi ditetapkan dalam melahirkan masyarakat yang berilmu menerusi perkhidmatan maklumat dan rujukan yang disediakan.

Katanya, kesedaran mengenai pentingnya perpustakaan dan amalan membaca dalam kalangan masyarakat Melaka terus menampakkan ciri-ciri positif dengan adanya program-program kesedaran membaca dijalankan dari masa ke semasa.

“Pada tahun lepas, PERPUSTAM berjaya mencatat kehadiran seramai 732,836 pengunjung dan sebanyak 450,662 buah buku telah dipinjam menunjukkan masih ramai masyarakat punyai minat membaca.

“Dengan peningkatan pengunjung dan penerimaan baik masyarakat terhadap perpustakaan, Insya-Allah tidak lama lagi PERPUSTAM juga akan mengembangkan lagi rangkaiannya dengan menjalankan operasi di dua perpustakaan desa yang sedang dibina di Asahan dan Lubok China,” katanya.

Jelasnya, dalam usaha menjadikan perpustakaan terus relevan kepada masyarakat, PERPUSTAM tidak saja memberikan perkhidmatan rujukan dan maklumat dalam bentuk bahan bercetak, tetapi juga mempunyai perkhidmatan internet, tablet, ipad, imac, kindle, ipen dan juga bahan bacaan secara maya seperti e-book dan pengkalan data.

Ujarnya, PERPUSTAM turut menjadi ‘one stop centre’ kepada masyarakat dengan menyediakan perkhidmatan gimnasium mini, bilik tayangan 3D, WII Gaming dan juga X-Box.

Perkembangan ini mampu memberi kesan positif kepada masyarakat khususnya golongan muda dan kanak-kanak.

“PERPUSTAM sebagai agensi yang ditubuhkan adalah untuk menyebar luas maklumat kepada masyarakat menganjurkan pesta buku Melaka ini dengan objektif utama bagi menggalakkan budaya membaca kepada setiap lapisan masyarakat.

“Pesta buku Melaka ini adalah kemuncak kepada segala program galakan membaca dan keilmuan dianjurkan PERPUSTAM pada setiap tahun.

“Program berkonsep turun padang ini bertujuan memperkenalkan peranan perpustakaan serta mendekatkan diri masyarakat dengan perpustakaan,” katanya.

 

CATEGORIES