Persaraan Zainal suatu kehilangan

Persaraan Zainal suatu kehilangan

SEBAHAGIAN kakitangan PERZIM bergambar kenangan bersama Zainal.

BANDAR HILIR 14 Sept. – Persaraan S. Zainal Abidin Shah baru-baru ini, suatu kehilangan buat seluruh warga Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM).

Persaraan Zainal sukar dicari ganti kerana dia antara seorang kakitangan berpengalaman luas dalam pengurusan koleksi muzium, pendaftaran artifak dan sentiasa memberikan komitmen penuh dalam pelaksanaan program-program PERZIM.

Zainal mula berkhidmat di Lembaga Muzium Melaka sejak 23 Oktober 1991 sebagai seorang Pekerja Am bertaraf sementara di Muzium Sejarah.

Zainal seterusnya dilantik sebagai pengawas muzium pada 16 September 1992 dan pada 11 April 1994 dia dilantik sebagai Pembantu Muzium bertaraf sementara di Muzium Samudera.

Beliau kemudian dilantik bagi jawatan tetap pada 1 Mac 2004 dan jawatan terakhirnya di PERZIM sebagai Pembantu Muzium gred S22.

Pengurus Besar PERZIM, Datuk Khamis Abas berkata, selama 27 tahun Zainal berkhidmat di PERZIM dan telah menjalankan pelbagai tugas di beberapa unit.

“Ini termasuk di Muzium Rakyat, Pusat Seni PERZIM-UiTM, Muzium Budaya, Muzium Sejarah, Muzium Belia, Muzium Istana Kesultanan Melaka, Muzium Samudera dan terakhir di Unit Pendaftaran.

“Majlis persaraannya kita adakan di Muzium Sejarah & Etnografi sebagai simbolik tempat pertama dia bertugas di bawah PERZIM,” katanya.

Khamis berkata demikian pada Majlis Persaraan S. Zainal Abidin Shah di Muzium Sejarah & Etnografi, baru-baru ini.

Majlis dimulakan dengan bacaan Yassin dan Tahlil diikuti majlis persaraan.

Zainal merupakan seorang kakitangan yang disenangi warga PERZIM kerana perwatakannya yang peramah.

CATEGORIES