Persekitaran Sungai Jerneh kaya sumber mata air

Kawasan yang sesuai untuk dijadikan empangan

Persekitaran Sungai Jerneh kaya sumber mata air

ALOR GAJAH 10 Feb – Projek Empangan Jerneh di Kampung Sungai Jerneh, Lubok Cina dekat sini yang bernilai kira-kira RM200 juta mampu menampung keperluan air penduduk negeri ini bagi jangka panjang menjelang 2030.

Empangan itu mampu menyimpan 13,000 juta liter air, sekali gus mengatasi masalah kekurangan sumber bekalan air di seluruh Melaka berbanding kemampuan tiga empangan utama ketika ini.

Dengan keupayaan penyimpanan air yang jauh melebihi kadar simpanan di Empangan Durian Tunggal di sini, Empangan Jus dan Empangan Asahan di Jasin, Empangan Jerneh mampu memenuhi keperluan air mentah di seluruh negeri berbanding keperluan 665 juta liter sehari pada 2014.

Sumber berkata, usaha memastikan bekalan air mencukupi melalui pembinaan Empangan Jerneh amat penting sejajar pertambahan penduduk berikutan pertumbuhan sektor perindustrian, perkhidmatan dan beberapa sektor ekonomi lain pada masa akan datang.

Katanya, Empangan Jernih dibina berasaskan konsep ‘Off River Dam,’ iaitu air tidak dialirkan dari sungai dan anak sungai ke empangan, sebaliknya air diperoleh dari Sungai Rembau di Negeri Sembilan dengan ‘gross yield’ 100 juta liter sehari.

Bagi melengkapkan projek Empangan Jernih, sebuah Loji Rawatan Air Jerneh yang berkapasiti 45 Juta liter sehari dijangka dibina oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

“Lokasinya berhampiran dengan Empangan Jerneh, iaitu di penghujung sistem bekalan air Melaka. Ini kerana tiada loji di kawasan Masjid Tanah sekarang dan ia menyebabkan kawasan itu sering mengalami gangguan bekalan air terutama pada musim perayaan kerana permintaan air meningkat 20 peratus.

“Sekarang kawasan Masjid Tanah menerima air terawat dari Loji Rawatan Gadek yang jaraknya 24 kilometer (km) dan dari Loji Bertam yang sejauh 50.3 km,” katanya di sini hari ini.

Sebelum ini Ketua Menteri, Adly Zahari dilaporkan berkata, kerajaan negeri memerlukan RM36 juta sebagai peruntukan tambahan kepada RM163 juta yang diluluskan kerajaan Pusat bagi melaksanakan projek berkenaan yang mampu mengatasi masalah bekalan air di negeri ini.

Katanya, peruntukan awal RM163 juta diluluskan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli tidak mencukupi bagi meneruskan projek yang tertangguh sejak dua tahun lalu itu dan setakat ini, RM73 juta telah dibelanjakan bagi pampasan pengambilan tanah.

Beliau berkata, ketika ini kerajaan negeri masih dalam proses perbincangan bagi memuktamadkan tender, selain menyelesaikan beberapa isu termasuk persempadanan dengan kerajaan Negeri Sembilan.

Setakat ini, sebanyak RM73 juta telah dibelanjakan bagi bayaran pampasan pengambilan tanah dan kerajaan negeri berharap tender projek itu boleh dikeluarkan dalam tahun ini, katanya.

Sementara itu, bekas Pengerusi Jawatankuasa dan Kemajuan Kampung (JKKK) Sungai Jerneh, Jaafar Atan, 57, berkata, perbincangan antara pelbagai agensi kerajaan dengan penduduk kampung mengenai projek berkenaan dimulakan sejak 2008 dan pada awalnya ia membabitkan pengambilan tanah kebun dan lebih 100 rumah.

Bagaimanapun, pemimpin JKKK ketika itu membantah projek berkenaan kerana menyebabkan keseluruhan kampung itu ditenggelamkan dalam empangan, sekali gus menyebabkan perbincangan dilanjutkan selama beberapa tahun.

“Saya mengambil alih jawatan JKKK pada 2013 dan selepas berbincang dengan pelbagai agensi kerajaan, hanya 48 rumah yang terbabit dalam pengambilan tanah tetapi kami tidak setuju.

“Kerajaan negeri akhirnya menganjakkan kawasan projek itu ke ladang kelapa sawit dan getah milik peneroka FELCRA Ramuan Cina Kecil yang bersebelahan dengan Kampung Sungai Jerneh,” katanya.

Jaafar berkata, kajian dijalankan syarikat kontraktor yang dilantik kerajaan mendapati tanah di kampung itu kaya dengan sumber mata air dan sesuai untuk dijadikan empangan.

Sumber air berkenaan membentuk lopak dan kolam yang sekarang menjadi tempat kerbau berkubang yang pernah digunakan penduduk kampung itu sebagai tempat untuk mandi sekitar 1970-an dan awal 1980-an.

“Waktu itu tidak banyak rumah yang mendapat bekalan air paip dan lopak, kolam dan anak sungai menjadi tempat untuk kami mandi.

“Kawasan yang dicadangkan untuk projek empangan itu mempunyai banyak sumber mata air dan insya-Allah kampung kami tidak akan ditenggelamkan dalam empangan itu kerana projek itu jauh dari kawasan kediaman penduduk,” katanya.

CATEGORIES