Perubahan sistem pendidikan lahir generasi dinamik

Perubahan sistem pendidikan lahir generasi dinamik

GINIE dan para kenamaan melihat buku-buku yang ada di PSS SDARY.

MERLIMAU 18 Okt. – Perubahan sistem pendidikan masa kini mencerminkan betapa pentingnya penguasaan ilmu pengetahuan bagi melahirkan generasi dinamik.

Exco Wanita, Pembangunan Keluarga dan Hal Ehwal Kebajikan, Ginie Lim Siew Lin berkata, zaman serba moden ini dapat lihat perubahan dari segi trend perolehan ilmu yang menjurus kepada bahan ilmiah berbentuk digital.

Katanya, perubahan ini mengubah landskap pengurusan Pusat Sumber Sekolah (PSS) dari segi pelaksanaan aktiviti galakkan membaca dan pengaksesan maklumat.

Justeru itu katanya, PSS perlu seiring dengan penggunaan teknologi agar budaya literasi maklumat dapat dilakukan mengikut perkembangan teknologi.

“PSS harus punyai elemen automasi dalam mengendali pusat sumber,” katanya ketika berucap mewakili Ketua Menteri, Adly Zahari.

Beliau berkata demikian di Majlis Kemuncak Program Khidmat Masyarakat (CSR) : Ilmu Mengubah Destini Perpustakaan Tun Abdul Razak UiTM di Sekolah Menengah Dato’ Adbul Rahman Ya’kub (SDARY) di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor UiTM, Prof. Emeritus Datuk Dr. Hassan Said dan Ketua Pustakawan UiTM, Noor Hidayat Adnan dan Rektor UiTM Cawangan Melaka, Prof. Madya Datuk Sabariah Mahat.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Nor Hashim Hasan.

Sementara itu, Hasan berkata, program dijalankan itu bertujuan membantu meningkatkan kualiti pusat sumber melalui perkongsian ilmu pengetahuan dan sumbangan bantuan fizikal.

“Program sebegini harus digiatkan lagi supaya dimensi baharu universiti dapat diperluaskan dan menjadi salah satu aktiviti jalinan masyarakat,” ujarnya.

CATEGORIES