Peruntukan Japerun mencukupi – Adly

AYER KEROH 7 Mac – Ketua Menteri, Adly Zahari memberi jaminan peruntukan Jawatankuasa Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Japerun) mencukupi jika hal melibatkan kewangan diurus dengan baik tanpa ketirisan.
Katanya, bagi memastikan ia mencukupi pihak Japerun perlu memastikan bantuan kewangan yang disampaikan tidak bertindih dengan bantuan diberikan agensi lain kepada penerima.
Beliau berkata, antara lain menyalurkan masalah melibatkan infrastruktur kepada agensi berkaitan supaya ia tidak menganggu peruntukan Japerun.
“Kaedah digunakan Japerun perlu diniai, peruntukan Japerun harus digunakan pada isu kecemasan seperti banjir kilat, bantuan segera kepada keluarga yang memerlukan dan tertinggal.
“Tetapi yang penting perlu pastikan agar tiada pertindihan bantuan berlaku kepada orang yang sama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) di Seri Negeri, di sini hari ini.