Pesara polis maut kemalangan

ALOR GAJAH 17 Feb. – Seorang pesara polis maut selepas motosikal ditunggangnya terbabit kemalangan dengan sebuah kereta dalam kejadian di persimpangan lampu isyarat Taman Mutiara, di sini, petang semalam.
Kejadian kira- kira jam 5.40 petang itu mengakibatkan mangsa Jahi Mahat, 65, yang menunggang Modenas Kriss maut dilokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan dipercayai berlaku ketika mangsa membuat pusingan U manakala kenderaan utiliti sukan (SUV) Volkswagen Tiguan terbabit menghala ke Bandaraya Melaka.
Beliau berkata seorang pengguna jalan raya yang juga saksi kejadian sudah tampil membuat laporan polis susulan kemalangan tersebut.
“Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Alor Gajah bagi proses bedah siasat.
“Manakala pemandu kereta, lelaki berusia 40 tahun tidak mengalami kecederaan dan sudah diambil keterangan,” katanya.
Menurut beliau, kedua-dua kenderaan kini ditahan untuk dihantar ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) selain kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.