Peserta industri, perniagaan jangka data perniagaan 2019 sedikit rendah
Hanya Vietnam yang mencatatkan pertumbuhan jumlah perdagangan apabila ia meningkat 7.4 peratus, manakala jumlah dagangan Singapura susut 4.3 peratus, Thailand menguncup sebanyak 3.0 peratus, China kurang 1.0 peratus dan Taiwan turun 0.6 peratus.

Harapan bagaimana Malaysia berusaha di platform perdagangan antarabangsa tahun lepas adalah tinggi dan ramai yang optimis namun berhati-hati terhadap prestasi itu.
Beberapa peserta industri dan perniagaan berpandangan 2019 adalah tahun mencabar bagi komuniti eksport tempatan kerana wujudnya pelbagai isu global yang dihadapi mereka.
Dasar perlindungan perdagangan yang semakin ketat, kelembapan kitaran semikonduktor dunia, harga komoditi global lebih rendah, perdagangan menyusut dan pengeluaran global kurang memberangsangkan telah mengakibatkan pertumbuhan pelbagai sektor, khususnya elektrik dan elektronik, menjadi perlahan.
Berdasarkan data bulanan yang dilaporkan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), kemungkinan besar prestasi perdagangan sepanjang tahun lepas tidaklah sekukuh angka yang direkodkan tahun sebelumnya, walaupun Malaysia bukan satu-satunya negara yang terjejas ekoran kelesuan ekonomi global.
Jumlah perdagangan bagi negara lain di rantau ini seperti Korea dan Indonesia turun sebanyak 8.3 peratus.
Jumlah dagangan Singapura susut 4.3 peratus, Thailand menguncup sebanyak 3.0 peratus, China kurang 1.0 peratus dan Taiwan turun 0.6 peratus.
Hanya Vietnam yang mencatatkan pertumbuhan jumlah perdagangan apabila ia meningkat 7.4 peratus.
Presiden Persekutuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM), Tan Sri Soh Thian Lai berkata sepanjang 2019, persekutuan itu menyaksikan prestasi global yang lembap dan Malaysia tidak terlepas daripada kesannya.
“Para pengilang kami telah mengharungi pelbagai cabaran untuk terus berdaya saing. Sektor seperti elektrik dan elektronik, serta petrokimia terjejas dan industri kini menyusun semula strategi perniagaan masing-masing termasuk berhasrat untuk mempelbagaikan pasaran mereka,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata banyak cabaran pada 2019 dan PKS digesa menyesuaikan dengan situasi tersebut selain perlu berfikir secara berbeza daripada kelaziman.
“Walaupun permintaan global berkurangan sepanjang tahun lepas, banyak PKS pengeksport kami menumpukan usaha mencari pasaran baharu malah pada masa sama menambah nilai produk dan perkhidmatan mereka untuk memenuhi segmen baharu pembeli.
“Mereka juga mengikuti program latihan untuk meningkatkan pengeluaran dan kapasiti selain menaik taraf jentera bagi mengukuhkan daya saing eksport masing-masing. Kami berharap ini akan berhasil pada 2020 supaya PKS boleh memanfaatkan program kerajaan,” katanya.
Pengerusi Produktiviti Nexus Elektrik dan Elektronik, Datuk Wong Siew Wai berkata prestasi eksport sektor elektrik dan elektronik meningkat secara sederhana pada suku pertama 2019 berbanding tempoh yang sama 2018 susulan perang perdagangan Amerika Syarikat-China.
“Kemudian dari suku kedua dan seterusnya, angka itu menyusut namun ia perlu dilihat dari segi konteks di sini — walaupun ada beberapa subsektor yang terjejas ekoran perang perdagangan itu namun sebahagian subsektor lain sebaliknya meraih manfaat daripadanya.
“Melangkah maju, para peserta industri mengambil langkah untuk meredakan kesan ketidaktentuan dalam ekonomi global, dan kami menjangkakan sektor semikonduktor berkembang tahun ini, mungkin bermula dari separuh kedua tahun ini,” katanya.
— BERNAMA